The Red Giants

EN
MY
SELANGOR FC
BERITA

Reviu Perlawanan LS9 | Sabah FC 1-2 Selangor FC | Liga Super Malaysia 2025/26

Nov 02, 2025 - FAS

Selangor FC membawa pulang tiga mata penuh dari Stadium Likas, Kota Kinabalu selepas menewaskan Sabah FC bagi saingan Liga Super 2025/26 dengan keputusan 2-1.

Perlawanan bermula dengan kedua-dua pasukan tampil agresif dalam mencari jaringan pertama, saling berbalas serangan dan mencipta beberapa peluang awal. Pasukan tuan rumah terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-9 apabila Fergus Tierney menanduk masuk bola dengan kemas ke gawang Selangor FC. Sebelum tamat separuh masa pertama, Alvin Fortes, yang beraksi di bahagian sayap kiri skuad Merah Kuning, menyamakan kedudukan pada minit ke-44 menerusi rembatan padu yang menewaskan penjaga gol lawan.

Dalam babak kedua, Selangor FC kembali ke padang dengan semangat baharu, melakukan sembilan percubaan ke arah gol serta menguasai 54% penguasaan bola. Usaha tersebut membuahkan hasil pada minit ke-59 apabila hantaran Raimi Shamsul dihadang Dominic Tan jatuh tepat di hadapan Fasial Halim, beliau sudahkannya dengan tenang dan meletakkan Selangor FC di hadapan, sekaligus memastikan kemenangan Gergasi Merah di Stadium Likas.

Menurut Ketua Jurulatih Selangor FC, Christophe Gamel, beliau gembira dengan keberanian yang dipamerkan oleh pasukan dalam perlawanan #SABSFC semalam.

“Hari ini, saya amat berbangga dengan keberanian yang ditunjukkan oleh para pemain. Bukan mudah untuk datang ke sini dan dapatkan kemenangan, tetapi itulah matlamat kami dan kita berjaya bawa pulang tiga mata penuh daripada aksi ini. Para pemain telah menunjukkan semangat juang yang tinggi dari awal hingga ke akhir perlawanan. Menentang salah satu pasukan yang hebat, ini merupakan satu kemenangan yang sangat baik untuk kita. Saya berpuas hati dengan cara kita bermain dan perkembangan yang ditunjukkan oleh pasukan sepanjang perlawanan,” bangga Gamel

“Dengan semangat seperti ini, saya yakin kita boleh pergi lebih jauh. Sudah tentu masih ada perkara yang perlu diperbaiki untuk mencapai tahap yang lebih tinggi. Kita akan terus fokus dalam menghadapi setiap cabaran selepas ini sebagai satu pasukan,” jelasnya

Seterusnya, Selangor FC akan menerima kunjungan dari negara jiran, Persib bagi menghadapi perlawanan ACLTWO Kumpulan G pada 6 November ini pada jam 8:15 malam. Dapatkan tiket di sini!

Pihak pengurusan Selangor FC berterima kasih kepada para penyokong yang telah terbang ke Stadium Likas, Kota Kinabalu untuk bersama-sama berada di belakang pasukan. Kita jumpa di Stadium MBPJ, Kelana Jaya minggu hadapan.

Demi Kebanggaan!

Kesebelasan Utama:- Sikh Izhan, Richmond Ankrah, Kevin Deeromram, Nooa Laine, Faisal Halim (K), Alvin Fortes, Zikri Khalili, Picha Autra, Syahir Bashah, Harith Haiqal, Chrigor Moraes.

Pertukaran:- 44’ Raimi Shamsul > Zikri Khalili, 74’ Willian Lira > Picha Autra, 90+3’ Mohammad Abualnadi > Alvin Fortes, 90+3’ Danish Iskandar > Syahir Bashah, 90+3’ Omid Musawi > Chrigor Moraes.